Friday, 29 March 2019

PENGGUNAAN BAHASA SLANGA DALAM FILEM TEMPATAN (KL GANGSTER)


Bahasa Melayu merupakan bahasa yang dinamik dan bersifat terbuka. Arus pembangunan yang begitu cepat berlaku dinegara ini telah membuka ruang kepada pembentukan kosa kata dan peristilahan baru bagi memenuhi ruang kosong utuk pelbagai bidang ilmu. Berdasarkan hakikat ini, kewujudan bahasa slanga tidak dapat dinafikan, kerana pemnbentukannya juga seiring dengan perkembangan bahasa, dan akan terus hidup mengikut perkembangan zaman.

Penggunaan bahasa slanga dalam kalangan remaja khususnya dalam filem aksi tempatan bukanlah perkara baru dalam sesebuah masyarakat dinamik seperti negara ini, kerana setiap golongan cuba menonjolkan identiti mereka sendiri. Hal ini dapat dilihat apabila penggunaan slanga bukan sekadar dituturkan oleh golongan remaja, malah terdapat juga kalangan profesional seperti doktor, peguam dan para pendidik yang mempunyai slanga mereka sendiri.

Bahasa slanga merupakan satu trend komunikasi yang popular kerana ia melibatkan golongan remaja dan dewasa dalam pelbagai konteks komunikasi tidak formal. Dapat dibuktikan bahawa terdapat banyak penggunaan bahasa slanga yang wujud dalam filem-filem Melayu masa ini. Filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof. Banyak menggunakan bahasa slanga untuk menghidupkan perwatakan gangster.

Penggunaan bahasa slanga didapati digunakan dengan agak meluas di dalam filem aksi untuk memaparkan kehidupan dan latar belakang masyarakat yang pelbagai seperti golongan samseng, pemuzik rock, dan golongan remaja. Penggunaan kata kerja adalah paling banyak digunakan dan mudah dimanipulasi untuk dijadikan bahasa slanga. Penggunaan perkataan-perkataan ini walau bagaimanapun tidaklah digunakan untuk keseluruhan perjalanan filem tetapi lebih kepada situasi yang memerlukan bahasa slanga sahaja agar situasi yang dilakonkan nampak lebih bersahaja dan tidak terlalu formal.

Beberapa sedutan dalam filem KL Gangster ini memaparkan penggunaan bahasa Slanga dalam kalangan pelakon filem. Penggunaan bahasa slanga ini juga mempunyai beberapa maksud yang lain. Maksud bahasa slanga yang digunakan perlu dianalisis mengikut konteks dialog. Contohnya, perkataan “menyalak” asalnya menunjukkan perbuatan anjing yang membuat bunyi salakan tetapi dalam filem ini, “menyalak”  membawa maksud sebagai menegur dan juga membuat bising. Contoh lain juga ialah istilah “sayur” yang merujuk makanan sayur-sayuran tetapi “sayur” yang dimaksudkan dalam file mini merujuk kepada “dadah”. Selain itu, terdapat beberapa bahasa slanga yang digunakan dipinjam daripada bahasa Inggeris dan dimelayukan sebutannya. Sebagai contoh, perkataan “brader” dan “bro” yang diambil daripada perkataan ‘brother’. Contoh lain ialah perkataan “can” yang diambil daripada ‘chance’ yang membawa maksud peluang dan perkataan “koman” yang diambil daripada perkataan ‘common’ bermaksud biasa dan tidak istimewa.
Istilah-istilah ini pada peringkat awal digunakan hanya untuk memeriahkan suasana sahaja, namun demikian lama kelamaan istilah ini menjadi budaya dalam percakapan. Antara bahasa slanga yang digunakan dalam filem-filem gangster ialah gua (aku), lu (awak), sengat (pukul), langgar (kacau), pegang (berkuasa), cikaro (gadis), usya (tengok), hampeh (teruk), kantoi (terkena), skema (ikot peraturan), meletup (hebat) dan banyak lagi.

Kesan penggunaan bahasa Slanga boleh menjejaskan kedaulatan bahasa. Pengunaan bahasa slanga yang meluas dalam perfileman gangster menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja digunakan dalam percakapan tetapi juga dalam penulisan.